KEHILANGAN buah mangga di kawasan perumahan Desa Murni, Miri, sejak sebulan lalu terjawab apabila dua ‘hantu mangga’ berjaya dicekup di kawasan perumahan itu, awal pagi semalam.

Dua suspek lelaki masing-masing berusia lingkungan 20-an itu ditahan anggota polis komuniti yang ketika itu sedang melakukan rondaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek kemudiannya dihampiri sebelum ditahan ketika menaiki motosikal dengan membawa satu guni dipenuhi buah mangga dengan berat mencecah 10 kilogram.

Sumber itu berkata, semua mangga itu dipercayai baru saja dicuri dari beberapa pokok di kawasan perumahan itu sebelum ia dijual semula kepada peraih.

“Kedua-dua suspek turut dipercayai bertanggungjawab terhadap kehilangan buah mangga di kawasan perumahan itu sebelum ini sehingga menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk,” katanya.

 

Katanya, orang awam sebelum ini sering mengadu buah mangga di kediaman mereka sering dicuri individu tidak dikenali sejak lebih sebulan lalu.

“Kedua-dua suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan – berita harian