IPOH – “Sampai jam 3 pagi pun masih ada yang datang ziarah arwah di hospital, silih berganti, makcik pun tak kenal dan tak tahu dari mana mereka datang,” kata Roshida Torji, ibu kepada bekas pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003, Dr Ahmad Atiq Abd Hamid yang meninggal dunia akibat pendarahan otak, malam Isnin lepas.

Roshida berkata, dalam tempoh empat hari dimasukkan ke Hospital Taiping sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Allahyarham yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri tetap dilawati rakan dari segenap lapisan.

Menurutnya, ada yang datang sebagai pesakit, rakan sekerja dan sekuliah, kenalan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak kurang yang mengenalinya ketika melakukan kerja-kerja dakwah.

“Makcik jadi hairan bagaimana Allahyarham memiliki rakan sebegini ramai, mereka yang datang tidak putus mengirimkan doa dan bacakan Yasin. Mereka katakan arwah pernah membantu mereka sebelum ini.

“Alhamdulillah, mungkin ini kuasa Tuhan tunjukkan kepada makcik bahawa dialah anak syurga makcik,” katanya ketika ditemui di Meru Heights malam tadi.

Allahyarham yang berusia 31 tahun juga Pengerusi Ikram Health Perak merupakan ikon masyarakat yang aktif dalam kegiatan dakwah dan khidmat masyarakat serta sering membantu golongan sasar terutama yang berkait rapat dengan hal perubatan.

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Karai, Kuala Kangsar dimasukkan ke hospital Jumaat lepas selepas mengadu sakit kepala dan mengalami muntah serta tidak sedarkan diri di kediamannya di Taiping sekitar jam 3 pagi.

Sepanjang tempoh rawatan di unit kecemasan rapi (ICU), Allahyarham hanya bergantung kepada bantuan alat pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.10 malam.

Roshida berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu sememangnya seorang yang manja dan sangat rapat dengannya terutama selepas kematian suami beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, Allahyarham tidak pernah menceritakan apa juga kegiatan dakwah dan khidmat masyarakat yang dia lakukan selama ini.

“Makcik pernah terfikir, apabila makcik meninggal nanti, dialah yang akan jadi imam solatkan jenazah makcik, tapi nampaknya makcik yang lihat dia pergi dahulu.

“Apapun makcik reda dan bersyukur kerana Allah pinjamkan dia bagi tempoh 31 tahun ini, dia anak yang baik, itu makcik tahu dan kini satu lagi perkara makcik tahu tentang dirinya bahawa dia sangat disenangi semua orang,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Dr Mai Shahira Meor Hazizi yang juga aktivis Ikram Health Perak serta dua anak lelaki, Ahmad Ihsan dan Ahmad Ahsan masing-masing berusia 4 tahun dan 3 bulan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang, Selangor itu muncul pelajar terbaik SPM 2003 selepas memperoleh keputusan 15A dan melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham, United Kingdom, dalam perubatan.

Hasil keputusan cemerlangnya dalam SPM, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai duta dan terbabit dalam iklan pensel Stabilo.

Beliau telah bersama dalam Ikram sejak belajar lagi dan beberapa kali terlibat dalam misi kemanusiaan di luar negara termasuklah membantu masyarakat Rohingya.

-Sinar Harian