PANGKOR – “Kepada si penulis itu, jawapan saya beginilah…saya hanya ingin sampaikan sebuah senyuman kepada dia…”

Demikian reaksi Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mengenai analisis berita portal pro pembangkang yang meramalkan Perak akan kembali diperintah Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya ke-14 tidak lama lagi.

Malah menurut beliau, tindakan terdesak pihak pembangkang menyiarkan analisis yang begitu berat sebelah itu ada kaitan dengan dapatan kajian daripada badan bebas yang memberikan ulasan positif untuk BN mengekalkan Kerajaan.

“Atas ulasan yang dibuat beberapa pusat kajian bebas, ia  telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pihak pembangkang.

“Saya tidak pernah membuat apa-apa kenyataan tentang itu (kajian) malah kita tidak pernah membayar kepada mana-mana pihak untuk membuat ulasan yang positif terhadap Perak.

“Dulu bila analisis memihak kepada mereka…mereka suka tapi bila pusat kajian yang sama memberikan petanda positif kepada kerajaan BN dia mula membuat tulisan yang menggambarkan Perak terlalu teruk,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita di Karnival Pembestarian Pendidikan Pangkor di SMK Pangkor.

Portal berita pro-pembangkang baru-baru ini menyiarkan satu artikel bertajuk ‘Why Pakatan Harapan Will Win Perak in the coming General Election” oleh Koon Yew Yin.

Dalam tulisannya, Yew Yin berkata BN akan kehilangan Perak kerana ia tidak ditadbir dengan baik oleh Dr Zambry pada ketika ini berbanding semasa Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak pada 2008 sehingga February 2009.

Yew Yin turut menuduh prestasi sosio ekonomi negeri Perak berada pada tahap paling teruk.

Dr Zambry bagaimanapun mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dengan hasil dapatan kajian yang ada setakat ini.

Katanya kebergantungan kepada dapatan kajian semata-mata akhirnya akan memberikan impak negatif kepada BN.

“Saya tidak menolak atau menerima bulat-bulat kajian-kajian yang dikeluarkan itu, kalau bergantung kepada apa yang orang ceritakan maka kita pun akan berasa selesa…tapi akhirnya sikap sebegitu akan beri impak tidak baik,” ujarnya.