KOTA BHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sudah mengambil sampel air dari tiga lokasi di Kampung Kuala Koh, Gua Musang bagi menganalisis tahap pencemarannya.

Pengarahnya, Hamzah Mohamad, berkata dua sampel diambil di kolam takungan di kawasan lombong, manakala satu lagi diambil di tadahan bukit.

Beliau berkata, kesemua sampel air itu sudah dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisis dan keputusannya akan diketahui dalam masa seminggu.

“Satu lagi sampel akan diambil hari ini di sungai berdekatan perkampungan Orang Asli Kuala Koh yang digunakan mereka sebagai sumber air minuman dan makanan.

“Hasil pemerhatian awal ketika mengambil sampel air di kolam takungan dekat perlombongan mendapati kualitinya pada tahap keruh, namun ia tidak digunakan oleh penduduk Orang Asli sebagai sumber air.

“Malah kolam takungan terbabit tidak dilepaskan ke sungai yang menjadi kegunaan sumber air. Cuma kita mahu tahu kandungannya, manakala kualiti air di kawasan tadahan air yang diambil pula berada di tahap jernih,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan pencemaran air bukit dan anak sungai Lebir dekat Kampung Kuala Koh, di sini dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih manganese atau keluli, sehingga menyebabkan kematian 14 penduduk Orang Asli suku Batek, setakat ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, dilaporkan berkata pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar supaya tidak hanya membuat tuduhan semata-mata.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kawasan tempat tinggal Orang Asli suku Batek itu sebenarnya sudah menjadi lokasi pemantauan pihaknya selepas mengadakan lawatan pada April lalu.

Namun, katanya, ketika itu, pihaknya tidak mengesan apa-apa sisa hasil aktiviti perlombongan, malah sebarang aduan juga tidak diperoleh daripada penduduk terbabit.

“Apapun kita tunggu keputusan daripada Jabatan Kimia dalam masa terdekat. Saya tidak mahu ulas apa-apa selagi keputusan tidak dapat,” katanya – Berita harian