TANJUNG MALIM: Lima daripada lapan sampel kepala anjing liar dari Kuala Sepetang, Taiping, yang dianalisis oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh, didapati negatif jangkitan penyakit anjing gila atau Rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, keputusan ujian ke atas baki tiga lagi sampel yang dihantar, malam tadi, akan diketahui Jumaat ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Rabies Perak berkata, setakat ini juga, tiada kes baharu jangkitan Rabies dilaporkan di kawasan terbabit.

Katanya, walaupun begitu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak masih lagi meneruskan pemantauan dan operasi di sekitar kawasan jangkitan itu bagi memastikan ianya bebas daripada penyakit tersebut.

“Lapan sampel kepala anjing liar itu adalah sebahagian daripada 48 ekor haiwan itu yang dilupuskan di sekitar Kuala Sepetang dan telah dihantar ke makmal VRI semalam, untuk dianalisis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai penyakit Rabies di sini pada Rabu.

Menurut Dr. Mah lagi, sebanyak 132 haiwan peliharaan iaitu 65 ekor anjing dan 67 ekor kucing telah diberikan suntikan anti “rabies” di Kuala Sepetang sejak pewartaan kawasan itu sebagai kawasan jangkitan penyakit itu pada Isnin lalu.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan penduduk di mukim Matang supaya mematuhi perintah-perintah yang terdapat di bawah pewartaan tersebut.

“Tidak ada anjing yang dibenarkan keluar masuk dalam kawasan wabak di bawah perintah kawasan jangkitan penyakit anjing gila yang berkuatkuasa 17 Julai lalu,” tegasnya.

Katany, jika ada individu yang melanggar perintah itu, dia boleh dikenakan tindakan.