GEORGE TOWN: Sampel dua jenis kopi keluaran syarikat sama yang didakwa menyebabkan tujuh individu mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang, telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk diuji.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata polis juga turut menghantar sampel air kencing dan darah dua lelaki yang menjadi mangsa terbaharu selepas mendakwa meminum pracampuran kopi putih ke Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar.

Sampel kedua-dua kopi itu – kopi berperisa durian dan pracampuran kopi putih – dihantar ke Jabatan Kimia untuk diuji bagi mengenal pasti jenis dadah dan punca sebenar sehingga mangsa mengalami gejala berkenaan, katanya di sini pada Isnin.

Isu kopi itu mula mendapat perhatian apabila tiga lelaki dan dua wanita mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang setelah mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas mendakwa meminum kopi berperisa durian yang diperoleh secara percuma daripada orang tidak dikenali.

BERITA TERDAHULU: Dua Lelaki Dirawat Di Hospital Selepas Minum Kopi Campuran

BERITA TERDAHULU: Kopi Durian Mengandungi Bahan Asing Disyaki Dadah

BERITA TERDAHULU: Kopi Durian: Tak Boleh Tarik Sebarangan

Anuar berkata setakat ini lima laporan polis dibuat berhubung kejadian itu termasuk daripada pengurusan kilang kopi berkenaan yang membuat laporan pada 1 Feb lepas mendakwa produk mereka disabotaj oleh individu tidak dikenali.

“Dua laporan polis diterima daripada pegawai perubatan yang merawat mangsa manakala masing-masing satu daripada pegawai teknologi makanan mengatakan terdapat campuran bahan asing dalam sampel kopi berkenaan, pengurus kilang dan seorang mangsa wanita yang dirawat selepas minum kopi itu pada 27 Jan lepas,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tujuh individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas mendakwa meminum dua jenis kopi itu. Dua kes terbaru dilapor semalam melibatkan pracampuran kopi putih.

Mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan di wad untuk pemerhatian dan menjalani beberapa ujian, lima daripada mereka telah dibenarkan pulang manakala dua lagi yang ditahan semalam masih dirawat di hospital.

Anuar berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pihak yang memberi dan mengedar dua jenis kopi berkenaan serta motif mereka bertindak sedemikian. — Bernama