Puchong: Jika enggan bayar, gerai dirobohkan dan barang jualan dirampas. Itu ugutan sekumpulan samseng yang bertindak meminta wang perlindungan kepada peniaga hampir setiap minggu di enam pasar pagi sekitar Puchong, sejak lebih setahun lalu.

Kumpulan samseng yang menggelarkan diri sebagai ‘abang kawasan’ itu, memulakan operasi mereka seawal jam 6 pagi hingga 7 pagi iaitu ketika cuaca masih gelap dan peniaga baru membuka gerai.

Peniaga ikan yang mahu dikenali sebagai Chia, 43, berkata, samseng terbabit kebiasaannya datang ke pasar pada hujung minggu kerana banyak gerai yang dibuka, namun kumpulan samseng itu akan beredar selepas kawasan sekitar mulai cerah.

“Mereka meminta wang perlindungan dengan alasan akan menjaga keamanan kawasan pasar dan mengarahkan orangnya mengutip sampah, tetapi kami tahu mereka tipu.

“Kebiasaannya mereka akan meminta RM10 tetapi kami tidak mahu mereka buat kacau, jadi kami beri saja kerana samseng itu bukan datang setiap hari,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Taman Kinrara 1, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

-myMetro