IPOH – Terdesak mahu memenuhi syarat menjadi ahli sebuah kongsi gelap, empat pemuda bertindak nekad menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bercham, di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, tindakan empat lelaki berumur 16 hingga 26 tahun itu bagaimanapun membawa padah apabila diberkas kurang 14 jam selepas itu menyamun.

“Dua daripada lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan menutup muka dengan kain baju memasuki kedai dan mengambil wang tunai serta beberapa kotak rokok kesemuanya bernilai RM446.

91dcd8ef-c219-46a5-8c5a-a1d73d895c8f0f778602-06de-4246-8385-37d74af35f2d
“Mereka kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini pada Khamis.

Tambah Sum, pada jam 4.30 petang hari yang sama, kesemua lelaki terbabit ditahan di lokasi berasingan di Bercham dan polis merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, lapan kotak rokok, tujuh bilah parang serta sebuah kereta Proton Iswara.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati keempat-empat lelaki itu tiada rekod jenayah lampau dan mereka baharu sahaja menubuhkan kumpulan itu.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari berakhir Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.

Difahamkan, keempat-empat lelaki terbabit melakukan jenayah itu bagi membolehkan mereka menyertai satu kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai ‘Geng Kok Wai’.