MIRI: Kemunculan seekor buaya besar yang berjemur di kawasan Pantai Batu 1, Kuala Baram, di sini petang kelmarin mencetuskan gempar dalam kalangan pengunjung lokasi perkelahan popular itu.

Malah, ada di antara mereka berlari ke kawasan selamat sejurus menyedari kehadiran reptilia ganas itu yang panjangnya mencecah empat hingga lima meter dan beratnya dianggarkan 200 kilogram.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, objek berkenaan pada mulanya disangka batang kayu balak tetapi dipastikan buaya spesis air masin apabila ia mula bergerak selepas terkena ombak.

Pengunjung, Senry John, 23, berkata beliau bersama keluarganya baru saja tiba di pantai berkenaan untuk berkelah sempena cuti umum dan cuti hujung minggu.

Katanya, ketika kejadian, mereka sedang mengemaskan barangan sebelum terkejut mendengar jeritan anak saudaranya sambil berlari dalam keadaan ketakutan.

“Dia menjerit sambil memberitahu ada biawak besar. Saya tidak sedap hati dan bergegas memeriksa keadaan sekitar sebelum menemui buaya berkenaan terdampar.

“Ingatkan tunggul kayu kerana ia langsung tidak bergerak. Bagaimanapun, apabila dihampiri, barulah saya sedar ia adalah seekor buaya” katanya.

Katanya, pada mulanya reptilia itu tidak begitu agresif, malah beliau empat merakam gambarnya.

“Bagaimanapun, semakin lama ia menjadi agresif, lebih-lebih lagi melihat kehadiran orang ramai di sekelilingnya.

“Ia seolah-olah cuba mempertahankan kawasannya, lalu terus masuk ke laut,” katanya sambil menambah itu adalah kali pertama kemunculan buaya di pantai berkenaan – berita harian