GOPENG – Bertolak seawal pagi dan tidur di hentian rehat dan rawat (R&R).

Itu antara pengalaman dilalui sukarelawan yang turun menyertai ‘Misi Hari ke-15 Mencari Md Ashraf Secara Besar-besaran’ di tapak perkhemahan Gua Tempurung, hari ini.

Tinjauan setakat jam 11 pagi tadi mendapati terdapat lebih 50 sukarelawan dari pelbagai negeri hadir membantu mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka tidak dapat meneruskan misi selepas tidak dibenarkan pihak berkuasa kerana dikhuatiri mengganggu operasi pencarian oleh pasukan penyelamat.

Seorang sukarelawan, Syahrizal Abdullah, 40, sanggup mengambil penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah, semalam semata-mata mahu menyertai misi pencarian, hari ini.

Dia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.45 tengah hari kemudian berehat di Lumut dan bersama lapan rakan lain memulakan pencarian di laluan berhampiran Gua Tempurung pada jam 8 pagi tadi.

“Sebaik terbaca tular di media sosial mengenai gerakan hari ini, sebagai saudara Islam, saya rasa terpanggil untuk membantu.

“Tidak mengapa kalau tidak menemui apa-apa petunjuk, saya tidak ralat walaupun terbang sejauh ini kerana yang penting kita usaha,” katanya.

Syahrizal yang bekerja sebagai penjawat awam berpengalaman dalam aktiviti larian dan pendakian sejak lebih 10 tahun lalu.

Muhammad Naquib dan Syahrizal
Muhammad Naquib dan Syahrizal
Sukarelawan dari Kedah, Muhammad Naquib Yahaya, 38, berkata, dia bersama seorang rakan bertolak dari Alor Setar pada jam 11 malam dan tiba di Gua Tempurung pada jam 4 pagi tadi.

“Kami mulakan pencarian di sekitar kaki gunung pada jam 7 pagi tadi, dan meneruskan sekali lagi pencarian pada jam 9.30 pagi, namun tidak menemui apa-apa petunjuk.

“Insya-ALLAH, mungkin selepas ini kami cuba di kawasan Bukit Batu Putih dan Gua Kandu pula sebelum pulang pada sebelah petang,” katanya.

Dia yang berpengalaman dalam operasi di hutan lebih 20 tahun tidak menolak kemungkinan Mohammad Ashraf terkandas di satu-satu lokasi yang menyukarkannya mencari jalan keluar.

“Ini pertama kali saya masuk ke Gua Tempurung dan memang niat saya untuk membantu mencari mangsa sudah lama, kebetulan pula tular poster misi, jadi saya ikut sekali,” katanya.

Terdapat juga sukarelawan meluahkan rasa terkilan apabila tidak dibenarkan menyertai operasi mencari hari ini.

Muhammad Syafiq Saiful Lizan, 23, berkata, mereka bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 3 pagi dengan harapan dapat memulakan misi mencari pada sebelah pagi di kawasan Gua Tempurung.

“Setakat yang kami tahu, pihak berkuasa memang tidak terlibat, tetapi tidak dinyatakan pula orang awam tidak dibenarkan masuk, sepatutnya perkara itu dinyatakan secara jelas.

“Rasa terkilan itu ada juga sebab saya bersama tiga rakan lain memang sudah lama berniat untuk membantu dan kebetulan ada hebahan mengenai hari ini, itu yang kami turut serta,” katanya -sinar harian