JOHOR BAHRU: Seramai 30 remaja, termasuk kanak-kanak sanggup mengayuh basikal sejauh lebih 10 kilometer dari Skudai, Kulai, Masai dan Ulu Tiram untuk mencuba ‘litar’ Jalan Lingkaran Dalam di sini, sebelum ditahan polis dalam kejadian jam 3 pagi, 28 Julai lalu.

Jalan itu yang pernah meragut lapan penunggang basikal lajak, Februari tahun lalu, dikatakan menjadi lokasi panas aktiviti berkenaan kerana permukaan dan kedudukannya yang menuruni bukit, namun membahayakan pengguna kerana ia antara jalan utama dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandarl (BSI) ke pusat bandar raya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata pasukan trafik menjalankan operasi cegah samseng jalanan dan lumba haram di kawasan berkenaan, sebelum menemui sekumpulan remaja lelaki dan perempuan bermain basikal lajak di kawasan berkenaan.

“Berikutan itu, pasukan berkenaan menahan kesemua 27 remaja lelaki dan tiga remaja perempuan berusia antara 11 hingga 18 tahun sebelum membawa mereka pulang ke Balai Polis Trafik JBS untuk soal siasat.

“Hasil siasatan, kami dapati semua remaja berkenaan berasal dari luar daerah iaitu Skudai, Kulai, Masai dan Ulu Tiram dan datang ke lokasi dengan mengayuh basikal secara berkumpulan.

“Seramai 28 penunggang basikal masih bersekolah manakala baki dua lagi lepasan sekolah. Mereka mendakwa hanya datang berbasikal secara suka-suka namun kami mengambil tindakan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya memanggil semua ibu bapa kanak-kanak dan remaja berkenaan untuk diberikan nasihat dan dikenakan tindakan.

Katanya, selain itu pihaknya menyita 30 basikal lajak dan mengeluarkan 20 saman mengikut Kesalahan di bawah Peraturan 42 (1)(a) Kaedah-kaedah lalulintas 1959.

“Lokasi itu adalah tempat di mana lapan penunggang basikal lajak maut dilanggar kereta dalam kejadian 18 Februari 2017.

“Kami sentiasa melakukan rondaan di lokasi berkenaan dan beberapa lokasi lain, namun mengharapkan kerjasama ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya – berita harian