LELAKI ditemui mati di dalam kereta miliknya oleh pekerja restoran yang menyangka mangsa tertidur berdekatan pondok pembuangan sampah di Taman Cantik, Lido, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang, mangsa berusia 56 tahun ditemui tidak lagi bernyawa sebelum laporan polis dibuat.

Pekerja lelaki berusia 30-an yang enggan dikenali itu berkata, dia menyedari Proton Iswara itu sudah diletakkan di kawasan berkenaan sejak pagi tadi.

“Ketika hendak membuang sampah, saya melihat kereta itu diletakkan di kawasan itu, dan terdapat seorang lelaki di dalamnya.

“Ketika itu, saya melihat lelaki berkenaan terbaring dan ingat dia sedang tidur. Saya kemudian kembali semula ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia kemudian kembali untuk membuang sampah dan berasa pelik apabila masih melihat kereta itu di kawasan yang sama.

“Saya kemudian memanggil beberapa rakan dan cuba mengejutkan lelaki itu, namun tiada sebarang tindak balas lalu menghubungi pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat,” katanya – hmetro