KUALA KURAU – Lebih 30 rumah penduduk sekitar Dun Kuala Kurau termasuk sebuah pelantar ikan terjejas teruk setelah dilanda ribut kencang dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 hingga 4 pagi itu, sebahagian besar rumah melibatkan Kampung Nelayan Kuala Kurau, Kampung Batu 14, Simpang Tiga Kuala Kurau, Kampung Parit Tok Hin dan Jalan Pantai, di sini mengalami kerosakan bumbung dan dinding rumah akibat kejadian itu.

Lebih mengejutkan, sebuah pelantar ikan milik penduduk di Kampung Nelayan, di sini turut runtuh setelah dibadai ribut kencang dan ombak kuat.

Seorang penduduk, Zurizam Mat Yatim,41, berkata, dia yang tinggal bersebelahan pelantar ikan itu tergamam melihat pelantar ikan itu runtuh sepenuhnya angkara dipukul ombak kuat dan ribut.

“Bila lihat ombak dan angin kuat meruntuhkan pelantar itu, saya sangkakan tsunami akan berlaku lagi.

“Ketika kejadian, saya berada dalam rumah dan menyaksikan kejadian itu dari tingkap hanya tergamam sambil mengucap panjang.

“Selang sepuluh minit selepas ribut mula berhenti, saya terkejut mendapati sangkar ikan milik ahli keluarga yang terletak berhampiran rumah, musnah dan menyebabkan lebih 150 ekor ikan siakap diternak terlepas,” katanya ditemui media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Zurizam berkata, dia bersyukur rumahnya tiada kerosakan serius, namun ahli mengalami kerugian kerana ikan diternak itu sepatutnya dipasarkan kepada pelanggan pada hujung bulan September.

“Bukan itu sahaja bot milik ahli keluarga juga turut terbalik dan menyebabkan bot serta peralatan seperti pukat dan enjin mengalami kerosakan.

“Selain itu terdapat beberapa buah bot nelayan disini turut diangkat ombak keatas daratan,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Liza Nordin ,30, berkata, ibunya, Che Tom Saari ,70, yang tinggal sendirian di kampung itu, berlari keluar rumah apabila ribut menerbangkan hampir keseluruhan bumbung utama rumahnya.

“Ibu hanya tergamam dan hanya berdoa kepada Allah memohon perlindungan.

“Disebabkan keadaan rumah tidak berbumbung, saya mungkin membawa ibu tinggal dengan kami di Bagan Serai sementara menanti bantuan dari pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, kejadian ribut tersebut mendapat simpati Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang turun padang menziarahi dan menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa-mangsa ribut.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya menerima lebih 30 aduan mengenai kejadian ribut melibatkan lima kampung.

“Beberapa rumah terlibat mengalami kerosakan serius dan memerlukan pembaikan dengan kadar segera berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

” Anggaran kerosakan mangsa ribut masih dalam siasatan dan dianggarkan mereka mengalami kerugian antara RM 5,000 hingga RM 10,000,” katanya – sinar