IPOH- Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyarankan agar kerajaan negeri Perak menghebahkan sebarang projek pembangunan khususnya perhutanan dan pembalakan menerusi sesi pendengaran awam atau public hearing kepada umum.

Menurut Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Mohamad Hafizudin Mohd Nasarudin, ketulusan maklumat itu penting bagi memastikan tiada konflik yang timbul selepas sesuatu keputusan pembangunan dicapai.

Katanya lagi, SAM telah mengenalpasti kelemahan yang menyumbang kepada pemusnahan kawasan berhutan dan memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup penduduk setempat.

“Salah satu perkara penting kami bangkitkan hari ini adalah kena buat public hearing sebagaimana yang dilakukan di negeri Selangor apabila mereka hendak mansuhkan hutan simpan.

“Kita harapkan Perak jadi negeri kedua yang laksanakan perkara ini, sewaktu sesi pendengaran awam ini segala projek pembangunuan atau sebagainya boleh berjalan dengan lancar.

“Selama ini perkara ini tidak terjadi (pendengaran awam) maklumat dibuat secara rahsia, oleh kerana itu konflik banyak terjadi, kami sebagai NGO juga harap diiktiraf oleh kerajaan negeri sebagai pihak pemantau ketiga untuk melihat kawasan mana yang sesuai untuk pembangunan dan mana yang telah diceroboh,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Beliau menambah, pihaknya juga meminta agar satu jawatankuasa khas yang menggabungkan kerajaan negeri dari segi teknikal serta penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti dalam merencana pembangunan di Perak.

Dalam pertemuan itu pihak SAM dan KUASA turut membincangkan beberapa isu berkaitan perhutanan dan kawasan perlindungan termasuk pencerobohan dan penerokaan haram di negeri ini.