ENAM lokasi di sekitar Kota Kinabalu disyaki sarang penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penagih dadah diserbu polis dalam Operasi Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Operasi bermula jam 2 petang itu menyasarkan beberapa penempatan setinggan dan bilik sewa di tapak pembinaan Pelabuhan Jesselton, Likas, Manggatal, Inanam, Sembulan dan Sinsuran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu berjaya menahan 22 PATI dan lima individu disyaki penagih dadah.

“Operasi ini menumpukan kawasan bandar raya di mana kadar pertumbuhan PATI yang mengundang kegiatan jenayah di daerah ini.

“Hasil pemeriksaan, kita menahan 27 individu dianggarkan berusia antara 14 hingga 55 tahun dipercayai PATI dan mengambil dadah jenis syabu selepas ujian air kencing dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, operasi itu turut dibantu oleh pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Kerjasama daripada pelbagai agensi adalah bagi melancarkan operasi termasuk SESB yang melakukan pemotongan sambungan elektrik haram di penempatan setinggan,” katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, operasi akan dilakukan secara berterusan dan orang ramai dialu-alukan memberi maklumat kepada pihak polis dalam usaha untuk membanteras jenayah, PATI dan penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini – berita harian