IPOH: Bekas bintang bola sepak Perak, V Saravanan menyelar sikap sesetengah pemain skuad negeri itu yang dikatakan besar kepala, bahkan mahu jurulatih mengikut telunjuk mereka.

“Zaman kami bermain dulu, kami dengar dan akur kepada setiap arahan jurulatih.

“Itulah sebabnya Perak muncul juara (Piala) Malaysia, (Piala) FA dan (Piala) Liga, masing-masing dua kali dan berada dalam kelompok tiga teratas pada masa itu.  “Sungguh memalukan. Tutup mulut, bekerja kuat dan buktikan dengan pencapaian di atas padang,” kata bekas penyerang kebangsaan itu melalui laman sosial Facebook miliknya.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas, Saravanan yang kini menetap di Finland difahamkan meluahkan kritikan itu kepada pemain skuad Bos Gaurus yang dikatakan menjadi punca pemecatan bekas jurulatih, Karl Heinz Weigang, baru-baru ini.

Weigang adalah jurulatih Perak ketika skuad itu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1998 selepas menumpaskan Terengganu dan mengenepikan Negeri Sembilan di pentas final pada tahun 2000. Saravanan adalah antara tonggak Perak ketika itu, bersama-sama Muhammad Khalid Jamlus dan kapten, Ahmad Shahrul Azhar.

Atas sebab-sebab tidak dinyatakan, jurulatih Jerman yang banyak berjasa kepada Perak itu digantikan dengan bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durokovic selepas lima perlawanan Liga Super musim ini.

Menurut sumber, tindakan terhadap Weigang yang dua kali menyelamatkan Perak daripada tergelincir ke Liga Perdana pada 2014 dan 2016, dibuat selepas ‘perjumpaan khas’ antara pemain dengan pengurusan pasukan.

-bharian-