KUALA LUMPUR :  Semua pihak khususnya rakyat di Sarawak tidak meletakkan sebarang harapan berhubung janji Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini kerana, menurut aktivis Movement of Change Sarawak (MoCS), Francis Paul Siah, masih banyak lagi janji yang bersifat mudah tidak ditunaikan sekali gus pemimpin dam kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal melaksanakannya.

Sehubungan itu, katanya, Anwar tidak seharusnya menunggu sehingga menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau benar-benar mahu memperjuangkan MA63.

“Sebagai pemimpin besar dalam Majlis Presiden PH, Anwar cukup berkuasa untuk mempercepatkan perjalanan perbincangan bagi membolehkan penyelesaian dicapai segera.

“Apakah semua keputusan besar tidak dibuat oleh pemimpin PH? Bahkan Anwar sendiri kerap bertemu dengan Perdana Menteri, jadi tidak menjadi masalah sekiranya beliau membangkitkan banyak perkara, termasuk MA63,” katanya seperti dipetik laporan FreeMalaysiaToday hari ini.

Dalam lawatan terbarunya ke Sabah, Anwar berjanji akan menyelesaikan masalah berkaitan MA63 apabila beliau menjadi Perdana Menteri.