IPOH: Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli telah diiktiraf sebagai ikon “Jom Klik Dengan Bijak” anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.

Ketua SKMM Perak, Hanita Izam Abd Rahman berkata pengiktirafan itu diberikan atas peranan aktif BAIDURI yang diterajui Saripah selama ini dalam mewujudkan kesedaran orang ramai terutama kalangan pelajar tentang penggunaan internet secara berhemah.

Katanya SKMM dan BAIDURI juga pernah bekerjasama bersama dalam memerangi jenayah seksual kalangan kanak-kanak dan susulan kejayaan itu telah membawa kepada program ‘Jom Klik Dengan Bijak’ pada tahun ini.

Katanya, selain BAIDURI, agensi itu juga berkolaborasi dengan Pergerakan Puteri Islam Malaysia Negeri Perak (PPIM) dengan tahun ini merupakan tahun kedua penganjuran program.

“Lebih membanggakan kami apabila setiap kali penganjuran program, SKMM sentiasa mendapat sokongan tidak berbelah bahagi BAIDURI.

“Malah BAIDURI juga sentiasa bersedia membantu sebarang aktiviti SKMM bagi tujuan mengurangkan risiko jenayah siber, serangan siber, kesedaran dan hak digital. Sepanjang tahun 2017 hingga hari ini BAIDURI tidak pernah jemu memberi sokongan mereka dalam setiap program kami,”katanya ketika ditemui Suara Perak.

Program “Jom Klik Dengan Bijak” yang berlangsung di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, hari Rabu lepas menyaksikan penyertaan 800 pelajar daripada sekolah-sekolah menengah di seluruh negeri.

Turut hadir, Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana PPIM Perak, Rokiah Mustafa dan Noorlida Mohd Yusuf.

Seminar yang bermula seawal pukul 8 pagi itu, mendapat reaksi positif pelajar yang aktif melontarkan pelbagai soalan berkaitan jenayah siber sepanjang program berlangsung,

Salah seorang peserta, Aqilah Husna Abd Rahim, 16, berkata seminar tersebut telah membuka matanya mengenai hak pengguna siber yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.

Anak keempat daripada empat beradik ini berkata beliau tidak begitu meminati dunia alam maya berbanding rakan-rakannya kerana merasakan ianya banyak membuang masa selain tidak mampu memiliki gajet terkini.

“Bukan tak suka, tapi saya rasa tak penting. Saya mahir menggunakan komputer kerana sering mendapat tunjuk ajar daripada cikgu, tetapi saya rasa belum sampai masanya saya berjinak dengan laman sosial.

“Bagaimanapun, seminar ini membuka mata saya mengenai hak saya sebagai seorang pengguna siber dan bagaimana mengelak dari menjadi mangsa penipuan “online grooming”, kerana setahu saya ramai mangsa rogol juga berpunca daripada perbualan alam maya,” ujar Aqilah yang bersekolah di SM Hamid Khan, Tapah.