PARIT – Seorang anggota tentera antara lapan suspek Orang Asli yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki di Lombong Kapal 7, Pulau Burung Sungai Galah di Kampung Gajah, enam tahun lalu.

Sarjan tentera berusia 34 tahun yang bertugas di Batalion 4, Rejimen Renjer Diraja Kem Oran, Kangar Perlis itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, tujuh lagi suspek berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun ditahan dalam tangkapan berasingan dari 29 Januari hingga Sabtu lalu di Kampung Chenderung Kelubi di Sungai Galah, Tanjung Tualang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tujuh daripada suspek masih ditahan reman manakala anggota tentera yang ditangkap semalam akan dipohon reman hari ini,” katanya.

Dalam kejadian, 6 April 2013, mayat Mohd Azrin Mohd Arif, 36, ditemui mati dalam keadaan terapung oleh orang awam di kawasan lombong berkenaan.

Mohamad Zainal berkata, bapa mangsa mengesyaki mangsa dibunuh sehari sebelum penemuan mayat berikutan panggilan telefon tidak dijawab anaknya – sinar harian