KUALA KANGSAR: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Padang Rengas di sini maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan, lalu terbabas sendiri sebelum jatuh menggelongsor ke tiang besi penghadang jalan di Kilometer 55 Jalan Ipoh- Taiping.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, mangsa yang merupakan Timbalan Ketua Polis Balai, Balai Polis Padang Rengas, Sarjan A Rahman Yeob, 59, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar, selepas bertugas dalam operasi Covid-19 pada Isnin.

“Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menungang Motosikal jenis Yamaha Ego LC datang dari arah Padang Rengas menuju ke arah Kuala Kangsar.

“Apabila sampai di KM 55, Jalan Ipoh-Taiping, mangsa yang sedang mara di lorong kanan dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebelum jatuh menggelongsor ke tiang besi penghadang jalan.

“Punca kemalangan dipercayai motosikal yang dinaiki telah hilang kawalan dan terbabas sendiri. Motosikal mangsa pula mengalami calar pada bahagian sisi kanan ,” katanya
dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, pihak ambulan yang tiba di lokasi kemalangan telah cuba membuat bantuan
CPR namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 5.25
petang.

Razali berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akata Pengangkutan Jalan 1987.