IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima wang tunai bernilai RM800 daripada orang awam dua tahun lalu.

Bahir Yaacob, 54, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim S.Indera Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah bersetuju menerima wang tunai RM800 dengan tanpa balasan daripada Lee Boon Chuan, yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh, di IPD Kerian di Bagan Serai pada jam 4 pagi 19 Mei 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim telah membenarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 April ini sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.