SUNGKAI – Jabatan Perangkaan Malaysia menyasarkan 30 peratus proses Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dilakukan melalui atas talian.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sasaran tersebut lebih ditujukan kepada penduduk bandar di mana faktor perkembangan semasa diambil kira oleh jabatan bagi mengumpul data dengan lebih efisien.

“Jabatan menjalankan pelbagai persediaan sejak 2016 lagi dalam usaha menjayakan Banci 2020 yang dijangka dimulakan pada Julai 2020 untuk tempoh dua minggu dengan menggunapakai 60,000 tenaga kerja termasuk sukarelawan.

“Antara persediaan yang kita sudah laksanakan adalah melakukan perbincangan dengan pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi di peringkat pusat, negeri serta daerah melalui pelbagai program dan seminar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Statistik Kependudukan dan Sosioekonomi Negeri: Ke Arah Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, semalam.

Seminar berkenaan dihadiri 150 peserta dari 32 kementerian, agensi serta pihak berkuasa tempatan di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) Sungkai.

Mohd Uzir berkata, jabatan juga sedang membangunkan sebuah sistem dikenali sebagai Malaysia Intergrated Population Census System (MyIPCS) yang membolehkan data bancian yang diperoleh disepadukan dengan data pentadbiran.

“Saya juga ingin tekankan bahawa pengambilan Banci 2020 yang merupakan kali keenam ini dianggap sebagai pelaburan jangka panjang kerajaan mengurus tadbir negara dengan lebih cekap dengan berpaksikan kepada maklumat-maklumat data terperinci yang kita peroleh

“Di negara maju misalnya, statistik yang diperoleh itu adalah sumber utama dalam pembangunan negara untuk jangka panjang, justeru itu masyarakat perlu bersedia memberikan kerjasama dan roh kepada usaha ini,” katanya.

Untuk rekod, Banci Penduduk dan Perumahan dilaksanakan sekali dalam tempoh 10 tahun yang mana sejak penubuhan Malaysia, lima projek banci dilaksanakan iaitu pada 1970, 1980, 1991, 2000 dan 2010 – sinar