KUALA LUMPUR: Kerajaan meletak sasaran supaya majoriti guru di negara ini memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana menjelang 2030.

Bagi mencapai hasrat itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berharap beberapa universiti awam (UA) dapat memberi kelonggaran dengan menukar jam kursus atau latihan dihadiri guru kepada jam kredit pengajian ijazah sarjana.

Katanya, kementerian giat melakukan libat urus dengan beberapa UA untuk tujuan berkenaan.

“Kita melihat keadaan guru dan memang ada skim untuk mereka melanjutkan pengajian.

“Ada dalam kalangan mereka diberi cuti belajar dan ini adalah usaha berterusan yang akan diteruskan.

“Kita ingin guru mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD). Kita juga melihat kemampuan semasa dan insentif yang diberikan sehingga mereka menyelesaikan sarjana dan PhD,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai keistimewaan warga Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.

Sementara itu, Maszlee berkata, tiada keperluan untuk merombak silibus atau subjek yang ditawarkan UA bagi peringkat ijazah sarjana.

“UA sentiasa memperbaiki dan menambah baik segala kursus yang dijalankan berdasarkan semangat autonomi.

“Bagaimanapun, kebanyakan usaha tambah baik silibus adalah hak universiti yang ditentukan oleh senat.

“Saya juga datang dari UA dan saya yakin di peringkat fakulti, mereka sering melihat subjek yang ditawarkan,” katanya menjawab soalan tambahan Willie Mongin (PH PKR-Puncak Borneo).

Maszlee lagi, pihaknya kini dalam perancangan untuk mengenalkan subjek falsafah untuk dipelajari di peringkat UA.

“Falsafah adalah dasar bagi cara berfikir yang betul dan kita mahu pelajar dilengkapi dengan alat ini,” katanya – berita harian