IPOH: Gangguan siber, pencerobohan, kod jahat dan pembulian siber merupakan empat ancaman utama internet di seluruh negara setakat ini, menurut Cybersecurity Malaysia.

Pusat pakar keselamatan siber di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga menyatakan kesemua ancaman yang diterima daripada Cyber999 itu berpunca daripada pencerobohan teknikal dan kecuaian daripada manusia sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata pihaknya menerima sebanyak 1223 kes penyalahgunaan alam maya sehingga Februari 2017 dan separuh daripadanya melibatkan gangguan siber iaitu sebanyak 529 kes.

“Sementara itu, pencerobohan siber atau intrusion mencatatkan 229 kes, kod jahat atau malicious codes sebanyak 192 kes manakala pembulian siber atau cyber harrasment sebanyak 86 kes.

“Sekiranya kita teliti, ancaman pembulian sebenarnya berasal daripada kawalan manusia sendiri dan bukannya penembusan melalui teknikal semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Seminar Kesedaran Keselamatan ICT dan Perasmian Projek Kajian Pengurusan Impak Manusi dalam Keselamatan Maklumat (HIMIS) di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Jelasnya, faktor utama dalam menangani perkara tersebut adalah dengan meningkatkan kesedaran semua pihak khususnya penjawat awam yang terdedah dengan pelbagai jenis ancaman siber dan mengganggu kelicinan pentadbiran masing-masing.

Dr Amirudin menegaskan bahawa Perak terpilih sebagai tiga negeri selain Pahang dan Sabah bagi pelaksanaan kajian tersebut agar ianya memberikan manfaat untuk panduan mengelakkan daripada menjadi mangsa siber dalam dunia serba berteknologi pada hari ini.

“HIMIS ini akan melibatkan seramai 1000 penjawat awam seluruh negeri dan memberikan mereka pengetahuan impak positif dan negatif internet, aplikasi dan tatacara sebenar penggunaan teknologi.

“Ianya sesuai dengan matlamat kami untuk membantu kerajaan negeri Perak mengelakkan berlakunya ketirisan maklumat seperti informasi palsu mengenai mana-mana penyata atau surat pekeliling oleh kerajaan pusat.

“Selain itu, ia juga dapat menyuntik satu kesedaran kepada mereka untuk membudayakan penggunaan siber secara berhemah, bertanggungjawab ke atas tindakan mereka di alam maya dan mengelakkan daripada menjadi punca kepada cyber-bullying dan harrasment,” ujarnya lagi.

Katanya, HIMIS juga dirangka khas mempunyai infra lengkap pemantauan sebarang emel atau aplikasi serta cubaan untuk mencerobohi laman web penjawat awam melalui pelbagai kaedah pemerdayaan seperti iklan dan tawaran lumayan pantas atau terkini, parcel scam di mana mangsa akan ditipu dengan pos barangan yang perlu dibayar.

“Kesemua penjawat awam terlibat akan menerima emel yang mengandungi video dan filem di dalam rangkaian sama dan dari situlah sistem akan mengenalpasti sejauh mana tahap kesedaran mereka di dalam ancaman dunia siber dan melakukan kategori mengikut penilaian sistem.

“Dengan ini, kita akan dapat memperbaiki sebarang kelemahan teknikal, peluang ancaman siber masuk dan menyesuaikan program kita selaras dengan apa yang perlu diperbaiki,” katanya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniam, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilim Radzi yang turut hadir menasihatkan penjawat awam Perak untuk terus berwaspada dalam sebarang ancaman siber meluas di Malaysia kini.