SEREMBAN : Bermula dengan modal hanya RM3,000, seorang graduan Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 sebulan hasil menjual sate.

Siti Nor Aminah Mohamed Hizeir, 22, membuka gerai di sebuah restoran di Bandar Kinrara 5, Puchong, Selangor dengan jenama ‘Sate Anak Dara’ sejak kira-kira dua setengah tahun lalu.

Menurut gadis yang lebih mesra dipanggil Mina ini, dia menjalankan perniagaan itu sebaik tamat pengajian Diploma Ekonomi Rumah Tangga di kolej berkenaan dan kini mampu mengupah beberapa pekerja bagi membantunya.

“Walaupun meminat bidang bakeri tetapi modalnya besar. Sebab itu saya ambil keputusan membuka gerai sate dengan menumpang di sebuah restoran.

“Saya boleh jual antara 500 hingga 700 cucuk sate sehari. Insya Allah, selepas ini, saya akan buka gerai menjual makanan barat pula di tempat yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas dipilih antara Ikon Alumni dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Malaysia Kali Keempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.

Siti Nor Aminah yang merupakan anak kepada seorang penyampai radio berkata, banyak dugaan dalam dunia perniagaan malah satu ketika dia sendiri hampir mahu menutup gerai kerana masalah tertentu.

“Ibu bapa dan dua adik-beradik saya banyak beri sokongan. Untuk berjaya seseorang itu jangan putus asa. Kalau berniaga kena fokus, kembangkan perniagaan terlebih dulu dan jangan hendak kaya dalam masa singkat,” tambahnya.

Seorang lagi Ikon Alumni, Muhammad Aqil Esrifadli, 20, memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh di kolej vokasional untuk menceburi perniagaan baik pulih dan menyelenggara pendingin hawa.

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak secara separuh masa ketika menuntut di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di Banting, Selangor sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Sebaik saya selesai konvokesyen pada tahun ini, saya buat sepenuh masa baik pulih dan selenggara pendingin hawa di pejabat, kedai dan juga rumah.

“Alhamdulillah, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka setiap bulan dan ketika ini mempunyai tujuh pekerja. Saya beroperasi dari rumah, namun bercadang memiliki pejabat dan membeli sebuah van tahun ini,” katanya.

Muhammad Aqil yang merupakan pemilik syarikat Mavericks Electrical and Aircond Services turut berterima kasih kepada seorang pensyarah yang banyak membantunya melibatkan diri dalam perniagaan tersebut.

“Semasa saya masih belajar di kolej vokasional, pensyarah itu bawa saya mencari peluang bisnes dan pelanggan pada Sabtu dan Ahad. Dari situ saya kumpul modal untuk buka syarikat sendiri,” jelasnya.

Turut diberi penghormatan sebagai Ikon Alumni kerana berjaya dalam bidang keusahawanan dan kerjaya ialah Muhamad Rusydi Rasip, Muhammad Hafiz Amran, Hanis Syuhada Abd. Halim dan Wan Mohamad Syafiq Wan Jafri.

– UTUSAN ONLINE