IPOH: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak ekoran banjir yang berlaku di Kampung Sri Jaya, Batu 7 Jalan Maharajalela, petang Khamis.

Pengerusi Bencana Daerah Hilir Perak, Shamsul Raidzuan Idris berkata, PPS baharu itu dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Taman Desa Aman Batu 6, mulai jam 5 petang ini.

Pembukaan PPS itu adalah sebagai tambahan kepada sebuah PPS yang dibuka sebelum ini di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

Dalam pada itu, mangsa banjir di yang dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong meningkat kepada 164 orang setakat jam 2.25 petang Khamis, berbanding 154 orang pagi tadi.

Menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, bilangan itu melibatkan 46 keluarga dengan 36 lelaki, 49 perempuan 50 kanak-kanak lelaki dan 29 kanak-kanak perempuan.

Kejadian banjir berlaku di Kampung Batu 7; Batu 8 dan Batu 9 sejak Selasa lalu apabila kawasan kampung dinaiki air kira-kira 0.5 meter atau setinggi paras pinggang disebabkan hujan dan limpahan air Sungai Bidor.

Hujan renyai-renyai masih turun di kawasan tersebut dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama-sama beberapa agensi lain sentiasa membuat pemantauan perkembangan banjir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Changkat petang ini.