Gerik: Seorang lelaki maut, lima lagi cedera dengan tiga daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Kupang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 3.55 petang itu, mangsa Mohd Fauzi Che Mahmood, 54, yang bekerja di Jabatan Pertanian Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Jamalani Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kembara bersama dua rakan sekerjanya dari arah Kupang, Kedah, menghala ke Gerik.

Katanya, setiba di lokasi kejadian yang berdekatan lokasi tanah runtuh, sebuah kereta jenis Perodua Alza dipercayai memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki mangsa.

“Kedua-dua kereta terbabas dan jatuh ke dalam kawasan tanah runtuh, tersangkut pada penghadang besi sebelah kiri jalan menghala ke Gerik.

“Mangsa yang tersepit di tempat penduduk penumpang hadapan disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Gerik dan Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-myMetro