KUALA KANGSAR – Sungai Perak dan kawasan sawah padi antara laluan yang akan direntas peserta Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2018 yang bakal berlangsung, 11 November ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Datuk Shahrom Abdul Malek berkata, laluan sejauh 15km itu melibatkan beberapa kawasan perkampungan yang mempunyai sawah bendang, kebun kelapa sawit, ladang ternakan dan sungai.

“Antara kelainan yang dibawa penganjur sepanjang tujuh tahun penganjurannya bagi mengekalkan kedudukan sebagai acara larian paling dinanti selepas Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang.

“Bagi penduduk, ia mungkin pemandangan biasa tetapi tidak peserta yang kebanyakannya dari luar seperti Singapura dan Kuala Lumpur. Suasana perkampungan yang dilalui dari kawasan Istana hingga ke Sayong akan memberi pengalaman baru kepada peserta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini lebih 7,000 peserta mengesahkan penyertaan untuk larian berkenaan termasuk sebahagian yang pernah peserta terdahulu.

“Kita terima permintaan tinggi, namun ikut kemampuan larian hanya boleh memuatkan setakat 7,000 peserta sahaja. Terpaksa mengehadkan jumlah peserta atas beberapa faktor termasuk keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Shahrom berkata, hampir 300 petak parkir ditambah di sepanjang laluan Jalan Daeng Selili dan Jalan Raja Chulan bagi mengatasi masalah kesesakan di situ.

“Awalnya kita mencadangkan tujuh kawasan, namun buat masa ini yang sesuai hanya di dua lokasi ini sahaja Penambahan itu ini diharap dapat menyelesaikan masalah sikap pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sebagai penyelesaian mudah,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama ahli majlis dan pegawai MPKK menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) disaksikan Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Ahmad Shukri Mohamad Taib – sinar