KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui ada mendengar mengenai pertemuan sulit di antara 22 ahli Parlimen Barisan Nasional, lima ahli Parlimen PKR di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Putrajaya, malam tadi.

Beliau bagaimanapun memberitahu tidak mengetahui apa yang dibincangkan oleh mereka ketika pertemuan tersebut.

Enggan mengulas lanjut, beliau mengulangi jawapan yang sama sebanyak dua kali ketika diminta mengesahkan sama ada Pengerusi Bersatu itu mengetahui mengenai pertemuan yang telah dijadualkan di kediaman Azmin malam tadi.

“Saya ada mendengar mengenainya tetapi saya tidak tahu apa yang dibincangkan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Kongres & Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2019 (PIPOC 2019) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Malam tadi sekumpulan 22 wakil rakyat BN hadir di kediaman rasmi di Putrajaya dan antara yang dilihat hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor juga Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran).

Pertemuan kira-kira dua jam itu turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan empat ahli Parlimen PKR yang lain.

Dipercayai pertemuan tersebut adalah untuk mempertahankan kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri seleps Pakatan Harapan mengalami kekalahan teruk di Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Ramai pemimpin PH menyalahkan Dr. Mahathir di atas kekalahan tersebut bagaimanapun beliau hebat dipertahankan oleh Azmin. – MalaysiaGazette