KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan mengumumkan tarikh untuk penyerahan kuasa perdana menteri kepada Anwar Ibrahim apabila tiba masanya.

“Saya akan umum kemudian, saya akan tunai janji,” katanya selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam hari ini.

Perdana menteri mengulas kenyataan terbaru Anwar yang meramalkan beliau akan mengambil alih jawatan nombor satu itu menjelang tahun depan.

Rabu lalu, presiden PKR itu dalam wawancara dengan Bloomberg Television berkata, tiada tanda parti lain akan memperkenalkan nama lain untuk merebut jawatan itu dan jika ada, lawannya “tidak relevan

Baru-baru ini, Mahathir didesak menetapkan tarikh khusus untuk menyerahkan kuasanya kepada Anwar seperti yang dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Mahathir yang dilantik semula sebagai perdana menteri susulan kemenangan PH dalam PRU14, berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji untuk berundur selepas memerintah kira-kira 2 tahun.

Mahathir berkata, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tetap diteruskan, walaupun bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu yang mendakwa projek itu antara usaha untuk menyelamatkan syarikat pelaburan kerajaan.

Itu apa yang dia rasa, tetapi kerajaan China tiada minta apa-apa. Kita ada kontrak untuk bina. Kita sudah kurangkan skop kerja dan juga kurangkan kos. Jadi, ECRL tetap akan diteruskan.”

Semalam, Amhari yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berkata, beliau diarahkan Najib ke Beijing untuk membincangkan projek ECRL, Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bagi “menyelamatkan” 1MDB yang dibebani hutang.

Susulan itu, Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Jomo Kwame Sundaram meminta kerajaan mengkaji semula projek ECRL bagi mengelakkan ia menjadi projek “gajah putih”.

Hari ini, ketika ditanya mengenai gesaan itu, Mahathir secara sinis berkata: “Jika dia (Jomo) bersedia untuk berunding dengan China, beritahu kami program itu boleh ditangguhkan, saya akan ikut.”

Pada Oktober 2016, Najib menerusi pembentangan Bajet 2017 mengumumkan projek ECRL dengan anggaran kasar kos RM55 bilion, akan dilaksanakan secara berperingkat.

Pembinaan ECRL dijangka bermula 2017 dan siap pada 2022, bermula dari Lembah Klang ke Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Tumpat.

Kerajaan Pakatan Harapan bertindak menggantung projek itu tahun lalu disebabkan kos tinggi dan memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion pada April lalu.

Mahathir mengulangi keputusan Putrajaya terpaksa menjual aset Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk melangsaikan hutang RM1 trilion yang ditinggalkan Najib.

“Mesti ingat yang kerajaan sebelum ini pinjam lebih RM1 trilion. Hutang itu adalah satu beban kepada kita kerana mereka pinjam dan wang tidak dilaburkan, tetapi disembunyi dan dicuri.

“Jika wang itu dilaburkan, kita boleh pergi ke syarikat itu atau apa saja untuk mendapatkan kembali wang itu, tetapi kita tidak tahu di mana wang itu.

“Pada masa ini, kita perlu bayar hutang daripada cukai, semua kita jual aset (Khazanah) untuk bayar hutang kita. Itulah beban yang ditinggalkan oleh Najib.”

Beliau turut menyelar Najib kerana mengkritik tindakan kerajaan menjual saham Khazanah.

“Sekarang sudah tentu dia bercakap banyak, tapi semua perkara ini, termasuk beli kapal dari China, bukan keputusan kita,” kata pengerusi Khazanah itu.

Najib sebelum ini berkata, beliau kesal dengan langkah Putrajaya menjual aset dan saham Khazanah bagi menampung keperluan kewangannya.