IPOH – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memikul tangggungjawab besar dan perlu diberikan penghargaan yang setimpal dengan pengorbanan dilakukan mereka.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau selaku anggota kehormat RELA turut berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar anggota beruniform itu.
“Syabas dan terima kasih kepada semua anggota Rela yang selama ini telah bertugas tanpa mengira waktu…hujan dan panas demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Ia merupakan satu penghormatan terbesar kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Rela,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 peringkat Rela negeri Perak, di sini pada Khamis.
Tambah Ahmad Faizal, beliau akan merancang satu perhimpunan besar-besaran tidak lama lagi bagi mengumpul kesemua anggota RELA yang bertugas di Perak.
“Saya telah bercakap kepada Ketua Pengarah RELA sebentar tadi, pada masa akan datan saya nak jemput semua anggota buat perhimpunan paling besar dalam sejarah Perak.
“Secara jujurnya saya mempunyai uniform RELA di rumah yang digantung rapi, tertera nama Faizal dan tidak pernah ditukar selama bertahun-tahun.
“Saya sentiasa berharap satu hari nanti saya akan pakai semula uniform itu dan Insyallah dalam masa terdekat saya akan pakai untuk beritahu keluarga RELA saya amat-amat berbangga menjadi sebahagian daripada mereka,” ujarnya
.
Dalam majlis itu, lebih 600 anggota RELA telah hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan pelbagai juadah istimewa disediakan.
Seperti lazimnya Ahmad Faizal yang terkenal dengan sikap mesra rakyatnya itu telah meluangkan masa bersalaman dan bertegur sapa dengan anggota RELA yang hadir bersama keluarga masing-masing.