IPOH – Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail mengesahkan beliau masih belum menerima sebarang tawaran dari mana-mana pihak untuk menjadi penasihat Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ketika ini beliau mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak mendesak mana-mana pihak untuk mempercepatkan tawaran terbabit walaupun Ahmad Faizal pada 5 Julai lalu mengumumkan akan melantiknya untuk jawatan terbabit.

“Buat masa sekarang saya tidak dapat sebarang informasi daripada pihak Menteri Besar dan pihak berkaitan.

“Saya tak menerima sebarang panggilan telefon atau butiran tentang perlantikan itu dan saya pun tidak bertanya atau mendesak untuk mempercepatkan urusan kerana saya hanya fokus urusan parti buat ketika ini,” katanya pada sidang media Penamaan Calon Pemilihan PKR negeri, di sini pada Ahad.

Siti Aishah menambah, jika ditawarkan jawatan itu beliau bersedia untuk menerimanya namun perbincangan dengan pihak terlibat akan diadakan terlebih dahulu bagi memastikan tiada pertindihan kuasa berlaku.

“Saya boleh menerima tawaran itu tetpai beberapa perkara perlu diteliti bersama Menteri Besar, saya tak mahu dilihat bertindih dengan tugasan exco sedia ada.

“Kalau berlaku panggilan saya sendiri akan hadir terlebih dahulu jumpa dengan Menteri Besar dan barisan exco kerajaan negeri supaya penyelarasan kerja itu berlaku, saya tak mahu dikata menganggu kerja mana-mana pihak,” jelasnya.

Pada 5 Julai lalu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak mengumumkan akan melantik Siti Aishah selaku penasihat menteri besar bertaraf exco selepas menarik diri daripada pencalonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dalam perkembangan mengenai penamaan calon pemilihan PKR negeri ini, dijangkakan sehingga 2,000 pencalonan akan diterima membabitkan 24 cabang seluruh Perak hari ini.

Setiap cabang sebanyak 46 jawatan akan dipertandingkan melibatkan jawatan ketua, timbalan ketua, naib dan 15 ahli jawatankuasa serta masing-masing 18 jawatan untuk sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan.