JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dengan gesaan agar isu pencemaran di Pasir Gudang disiasat pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau juga bersedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses tersebut.

“Sekali lagi saya tegaskan yang saya bersetuju perkara ini disiasat dengan segera. Saya sendiri sedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Kerana akhirnya saya sendiri secara peribadi ingin tahu kilang manakah yang telah membuat onar di Pasir Gudang, siapakah pemiliknya dan siapakah yang telah meluluskan pembukaan serta operasinya,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menuding jari dan menyalahkannya bahawa pencemaran di Pasir Gudang pada masa kini berpunca daripadanya.

Alasan kepada dakwaan tersebut adalah beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas sebelum ini bertanggungjawab meluluskan pembukaan dan operasi kilang-kilang di Pasir Gudang.

Selain itu, Mohamed Khaled turut menegaskan beberapa perkara melibatkan dakwaan pihak terbabit ke atasnya yang berkaitan dengan insiden pencemaran di Pasir Gudang.

Katanya, pertama kelulusan pembukaan atau operasi sesebuah kilang di Pasir Gudang bukanlah kuasa dan tugas ADUN yang terlibat.

“Sebaliknya kelulusan dan operasi kilang adalah di bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Manakala perkara-perkara yang melibatkan lesen, pemantauan serta syarat-syarat tambahan pula kebanyakannya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Bagi perkara kedua, bekas Menteri Besar Johor itu bersetuju untuk pihak berwajib seperti SPRM atau mana-mana agensi yang relevan membuka kertas siasatan.

“Siasatlah sepenuhnya siapa yang terlibat dan ambillah tindakan. Yang menjadi masalah dan kebingungan semua pihak sekarang adalah sehingga kini kerajaan negeri sendiri yang begitu berkeras dan bersungguh-sungguh melindungi nama pesalah dan kilang-kilang yang terlibat.

“Selepas dua kali insiden yang sama berulang, kerajaan negeri dan kementerian yang terlibat masih merahsiakan suspek dan nama kilang-kilang yang disyaki,” katanya.

Selain itu, katanya, perkara ketiga semua harus sedar isu yang turut kritikal dalam insiden ini adalah pengurusan dan pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa.

“Prosedur dan kepakaran agensi-agensi ini harus diperkemaskan. Malah yang kita semua kesalkan sekali adalah kegagalan dan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan insiden tersebut,” katanya.