KOTA KINABALU : Presiden Warisan Shafie Apdal memberitahu penyokongnya bahawa beliau akan bertanggungjawab bagi kekalahan parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

“Jangan salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku di Kimanis – kita akan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Shafie yang juga ketua menteri Sabah berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga tidak bertanggungjawab terhadap kekalahan itu.

“Jangan salahkan Tun bagi kekalahan pilihan raya kecil ini, dia tidak ada

“Kita tidak boleh salahkan orang lain – kita bertanggungjawab. Kita ada di sana, kita berkempen di sana dan perlu menerima hakikat bahawa kita kalah,” katanya.

Calon Barisan Nasional, Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi mengalahkan calon Warisan, Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi iaitu majoriti 2,029 undi pada PRK yang diadakan Sabtu lepas.

Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata sebagai ketua kerajaan, Mahathir mesti bertanggungjawab atas kekalahan Pakatan Harapan di Kimanis.

Shafie berkata walaupun kalah di Kimanis, kerajaan akan terus berkhidmat kepada rakyat di Kimanis seperti yang dijanjikan semasa kempen.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan penyertaan PPBM Sabah dalam kempen Warisan, Shafie berkata: “Kami akan buat ‘post-mortem’.”