IPOH – Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail memerlukan sedikit tempoh sebelum dapat memberikan keputusan berhubung persetujuan pelantikannya sebagai penasihat menteri besar.

Katanya, dia perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak terutama pimpinan tertinggi parti terlebih dahulu.

Menurutnya, langkah itu bagi menepis persepsi sesetengah pihak berhubung kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas isu pencalonan Speaker Dewan Negeri, Selasa lalu.

“Persepakatan parti komponen dalam Pakatan Harapan Perak berhubung pelantikan ini amat dihargai dan saya juga berterima kasih kepada menteri besar yang prihatin.

“Jujurnya saya belum lagi membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, apa juga keputusan akan saya maklumkan secara rasmi berdasarkan pandangan diberikan pimpinan parti.

“Tetapi percayalah, walau apa juga keputusan, ia bukan untuk kepentingan sendiri,” katanya ketika ditemubual menerusi Live FB Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kepada media bahawa persetujuan dicapai antara kepimpinan Pakatan Harapan untuk melantik Ketua Srikandi PKR Pusat itu sebagai penasihat menteri besar bertaraf exco.

Lantikan itu bagaimanapun bukan bersifat ‘pujukan’ selepas penolakan jawatan Speaker Dun dibuat oleh Siti Aishah, sebaliknya untuk meletakkan bekas calon PRU13 di Parlimen Tambun itu di satu tempat yang berpengaruh.

Selasa lalu, Persidangan Dun Perak bermula agak tegang selepas sesi pencalonan Speaker Dun yang baharu, dipertikai.

Siti Aishah yang merupakan calon bagi Harapan bagi penggal ke-14 membuat keputusan menarik diri memandangkan DAP turut menghantar calonnya.

Siti Aishah berkata, sumbangannya dalam parti hingga membantu kejayaan Pakatan Harapan di Perak bukan untuk mengejar apa-apa jawatan.

Katanya, ia lebih kepada hasrat untuk melihat Perak ke arah negeri yang lebih baik di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

“Jika saya seorang yang gilakan jawatan, lebih baik saya bertanding dalam pilihan raya, jika memang ada kemungkinan duduk dalam barisan kabinet, tetapi saya memilih untuk berada bersama

kepimpinan di Perak.

“Saya mengundi di sini dan membesar di sini, keinginan untuk berbakti dan menabur jasa itu lebih besar di negeri sendiri,” katanya – sinar