Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang

PETALING JAYA : Kerajaan tidak mengambil berat akan masalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mengabaikan tekanan kos sara hidup rakyat apabila mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,200 di bandar-bandar utama mulai 1 Februari.

Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang berkata, Kementerian Sumber manusia pernah mengadakan dialog dengan pihak pengusaha pada tahun lalu, tetapi pendapat yang dikumpulkan tidak pernah dipanjangkan ke Jemaah Menteri.

Beliau justeru berpendapat kerajaan langsung tidak ikhlas untuk mewujudkan saluran komunikasi yang baik dengan pihak berkepentingan.

“Kerajaan sejak dua tahun lalu tidak berkomunikasi dengan PKS dan seterusnya melaksanakan dasar yang tidak sesuai dengan keadaan semasa selain asyik melaksanakan pusingan U.

“Majoriti PKS tidak menerima manfaat dan tahap keyakinan pengusaha terhadap kerajaan telah merosot,” katanya kepada Sinchew Daily.

Michael berkata, pelaksanaan gaji minimum hanya akan memanfaatkan pekerja asing.

“Kementerian Sumber manusia sedang berusaha menjadi pusat sehenti yang mengawal pekerja asing.

“Saya berharap menteri ini tidak akan menjadi Menteri Pekerja asing pada akhirnya,” katanya.

Beliau juga berharap Jemaah Menteri akan mengambil kira suara hati pengusaha dengan menundakan pelaksanaan dasar gaji minimum RM1,200.

Pihak Persatuan PKS, kata Michael, akan mendapat bantuan Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan serta Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri untuk membawa isu berkenaan ke Jemaah Menteri.

Katanya, kos tambahan akan dialihkan kepada pengguna jika dasar gaji minimum dilaksanakan kerajaan mengikut jadual asal iaitu pada 1 Februari.