PETALING JAYA : Bekas pemimpin Umno Salleh Said Keruak berharap PKR beri peluang kepadanya, sehari selepas Presiden Anwar Ibrahim berkata tiada bantahan keras terhadap permohonnnya menyertai parti itu.

Bekas ketua menteri Sabah itu dimaklumkan secara peribadi oleh Anwar mengenai keahliannya, dan beliau faham kenapa perbincangan mengenainya mengambil masa.

“Saya berharap untuk diberikan peluang untuk memberi sumbangan dengan sedaya upaya saya ke arah pemupukan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, untuk Sabah khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya di blog hari ini.

Anwar memberitahu pemberita di konvensyen PKR Sabah di Penampang semalam bahawa hubungan Salleh dengan Umno “tidak harus jadi sebab untuk tidak menerimanya”.

Beliau berkata PKR sedar bekas menteri multimedia dan komunikasi itu dulu kuat mempertahankan perdana menteri sebelum ini, Najib Razak.

“Dulu saya juga seorang ahli Umno yang agak komited,” kata Anwar.