BERUAS: Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) sempena program Permukiman Menteri Besar kali ini mendapat sentuhan berbeza apabila membawakan tema “Perspektif Islam” bagi tahun-tahun mendatang.
Dialog itu dibarisi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Drs. Mohd Nizar Zakaria selaku ahli panel.
Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru, Datuk Abdul Manaf Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Dr. Amiruddin Mohamed serta Harith Fadzilah Abdul Halim sebagai moderator.
Dr. Zambry dalam ucapannya turut melahirkan harapan agar umat Islam tidak akan berpecah belah dalam tempoh 50 tahun akan datang.
“Apakah kita tidak mengimpikan semua
ini? Kita mahu negara yang aman, bayangkan umat Islam berpecah belah, bagaimanakah keadaan kehidupan kita dan di mana kita nanti di dalam negara yang ada kepelbagaian.
“Impian saya, saya inginkan sebuah negara di mana umat Islam bersatu padu dan berkasih sayang,” ujar Dr.Zambry.
Beliau berkata demikian di hadapan lebih 800 orang hadirin di program Dialog TN50: Perspektif Islam di Dewan Inderawati di sini, malam tadi.
Antara topik yang ditengahkan kali ini ialah sistem zakat, masjid mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), mewujudkan Sekolah Agama Rakyat Pendidikan Khas  dan penambahbaikan kemudahan pusat tahfiz.