Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TANJUNG TUALANG: “Saya kagum,…saya suka projek ini,” kata Pengerusi Parti Amanah (PAN) Perak, Asmuni Awi selepas sesi lawatan ke tapak Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) di sini pada petang Isnin.

Lawatan yang dijalankan bersama dengan beberapa ahli parti itu dikendalikan sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminudin Hashim.

Kenyataan tersebut sekaligus menafikan persepsi mengenai kepincangan MB Inc dalam merangka pelan tindakan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan semula warisan khazanah Perak yang merupakan ikon dalam Tahun Melawat Perak 2017 itu.

Asmuni, dalam komen beliau menyatakan bahawa tujuan sebenar Amanah melawat kawasan tersebut bukan untuk mengkritik, sebaliknya untuk memberikan cadangan proses penaiktarafan yang dilaksanakan oleh MB Inc.

“Lawatan ini bukan mencari kesilapan, kita nak bagi pandangan dan idea membina, daripada penerangan tadi banyak lagi perlu diperbaiki, melalui input kami diharapkan pihak MB Inc akan dapat idea baru jadikan projek ini seperti yang dicita-citakan.

“Kapal korek ini merupakan satu-satunya di Malaysia, bila saya masuk ke dalam saya tak risau sangat dengan keselamatan tetapi kalau ianya runtuh, maka tak ada lagi kapal korek, nak buat replika pun tak sama dengan yang asli,” katanya kepada pemberita semasa sesi lawatan itu.

Beliau berkata demikian selepas mendengar penerangan daripada Aminudin mengenai kronologi perlaksanaan ke atas TT5 dan lawatan ke dalam warisan pengorek bijih timah tersebut.

Jelasnya, pihak MB Inc perlu membuat pertimbangan untuk menambahbaik lanskap persekitaran luar bagi pelancong sementara menantikan kelulusan untuk menjelajah di dalam kapal korek berkenaan.

“Ini adalah usaha bersama, satu-satunya yang tinggal (kapal korek bijiih timah), kalau bangunan nak baikkan semula mudah tetapi ini dibawa dari England pada 1938 jadi saya tidak hairan bila Datuk kata kos sebuah kapal mencecah RM200 juta hari ini.

“Saya juga berharap agar projek ini bukan sahaja diserahkan kepada MB Inc tanpa bajet tetapi kerajaan negeri juga harus tengok, ini warisan Perak, warisan negara dan warisan dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Aminudin berkata beliau menerima baik semua pandangan yang dapat membantu memperkemaskan rangka kerja memperbaiki TT5 dan buat masa ini sedang giat melaksanakan Projek Fasa 1.

“Antara sebab utama tertundanya tarikah untuk membukan TT5 kepada orang ramai adalah kesulitan teknikal di mana kita terpaksa memulakan proses itu pada May 2016, setelah kos sebanyak RM 4 juta dikira semula.

“Buat masa ini 80 peratus daripada penambahbaikan telah berjalan, sebaik sahaja kami telah memastikan “pontoon” dipasang double plating, dikeringkan dan Siji Keselamatan diperoleh maka barulah kita membukanya kepada orang awam, keselamatan itu menjadi keutamaan kami,” katanya lagi.

Aminudin berkata beliau akan merujuk kepada pakar kapal korek untuk mengetahui status kestabilan dan faktor keselamatan sebelum dibuka kepada orang ramai.

“Kemungkinan besar kita akan membukanya kepada orang ramai pada suku ketiga tahun ini, sedang berusaha sedaya upaya untuk melihat kepada aspek dan kekangan yang perlu dikendalikan bagi tujuan tersebut,” kata beliau.