IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin hari ini mengumumkan perletakan jawatannya dalam UMNO dan mengisytiharkan dirinya keluar parti tersebut untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut mantan Exco Negeri Perak itu, beliau mengambil keputusan tersebut secara sukarela dan tanpa paksaan atau imbuhan malah sebarang janji dari mana-mana pihak.

Katanya, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira pendapat majoriti rakyat termasuk pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong di sekitar Sungai Manik.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambilkira suasana politik semasa negara dan kepentingan rakyat di kawasan saya. Seperti yang telah saya janjikan dalam pilihanraya kepada pengundi saya berikrar memberi khidmat sepenuhnya dan mereka adalah keutamaan saya di dalam pekara ini.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa saya akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta akan menyokong penuh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak yang diketuai saudara Ahmad Faizal Datuk Azumu,”katanya dalam satu sidang media dalam Majlis Penyerahan Borang Parti Bersatu di Hotel Kinta Riverfront di sini,hari ini.

Menurut Zainol, sekitar 200 orang ahli UMNO termasuk tiga Timbalan Ketua Bahagian serta bekas Ketua Pemuda UMNO dari 24 bahagian di sekitar negeri Perak turut menyertai beliau dalam tindakan keluar parti itu.

Zainol, berkata keputusan mereka adalah keputusan yang terbaik untuk kepentingan dan perpaduan rakyat.

Menurutnya lagi, mereka bersedia untuk membantu serta berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan Pakatan Perak untuk mencapai visi dan misi bagi masa depan rakyat.

“Oleh yang demikian saya berharap dengan pengumuman ini saya dapat menjelaskan kedudukan saya dan rakan-rakan seperjuangan saya kepada seluruh rakyat negeri Perak khususnya masyarakat di kawasan DUN Sungai Manik,”ujarnya lagi.