Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TRONOH: Model botol air mineral stesen minyak Shell, Nor Shafila Khairusalleh memaafkan tindakan segelintir lelaki yang bertindak di luar batasan terhadap gambar posternya ketika bergambar.

Penyelia Shell cawangan Tronoh itu berkata walaupun perkara tersebut mengaibkan namanya namun beliau tidak ingin perkara tersebut berlarutan.

Katanya, setiap manusia pastinya membuat kesilapan dan beliau berharap agar kejadian yang mendatangkan tidak senang kepada diri dan suaminya itu tidak akan berulang lagi.

“Saya sendiri tidak mengetahui ada di antara lelaki yang tidak sensitif, menyentuh bahagian-bahagian sensitif poster tersebut, tapi saya tidak ingin memandang serius perkara ini.

“Paling penting, mereka tidak ulangi tindakan tersebut kerana mendatangkan contoh tidak baik kepada anak-anak kecil, dan generasi muda lain.

“Saya pun, bukannya sesiapa nak halang mereka, benda ini sudah jadi, saya maafkan mereka,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Sebelum ini, lulusan Diploma Ukur Tanah, Politeknik Sultanah Bahiyah, Kedah itu mula dikenali ramai selepas papan posternya bersaiz separuh badan manusia sedang memegang air mineral tular di media sosial.

Katanya, perlakuan tersebut tidak melambangkan nilai-nilai murni sebagai rakyat Malaysia dan diharap agar ianya tidak berulang lagi.

“Sekarang, Shell pun akan turunkan semua poster itu, jadi tak ada masalah saya rasa, secara peribadi saya maafkan mereka,”ujarnya lagi.

Nor Shafila, yang mula viral di laman sosial, selepas itu ‘muncul’ sekali lagi dengan papan poster bersaiz badan penuh manusia mempromosikan bahan api Shell yang mempunyai Dynaflex.