IPOH: “Selagi saya masih hidup, selagi itulah saya mahu belajar,” itulah kata-kata semangat Chiang Wai Cheng, 17, seorang calon Orang Kurang Upaya (OKU) yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Wai Cheng, 17, yang merupakan pelajar SMK Tanjung Rambutan mendapat keputusan 6A dan 3B dalam peperiksaan yang diumumkan hari ini.

Walaupun mengidap penyakit Duchene Muscular Dystrophy (DMD) yang menyerang sel-sel ototnya secara perlahan-lahan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk belajar.

Dia yang baru kehilangan ibu akibat kanser dua tahun lalu mengakui ayahnya adalah pendorong dan pemberi semangat yang kuat untuknya berjaya dalam peperiksaan.

oku cemerlang2

“Ayah saya kena berhenti kerja jaga saya, adik saya pun ada penyakit sama, sejak emak meninggal, ayah terpaksa angkat kami adik-beradik ke sana-sini, dan saya mahu balas jasa ayah.

“Apabila dewasa, saya nak masuk bidang pereka dalaman, saya nak hias-hias rumah dan masuk bidang rekaan dalaman,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui pemberita selepas keputusan SPM 2016 diumumkan di Jabatan Pelajaran Negeri Perak pada pagi Khamis.

Wai Cheng berkata, dia juga mempunyai cara tersendiri untuk belajar dengan melayari Youtube khususnya, bagi mendapatkan teknik memahami subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains secara interaktif.

“Kami bukan orang senang, ayah pun tak ada kerja, Youtube ini percuma, jadi jimat duit ayah…saya sangat seronok sebab dia ada video, boleh belajar banyak dari soalan-soalan tahun lepas,” katanya lagi.

Wai Cheng mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekolahnya serta guru-guru yang selalu membantunya untuk bergerak di sekitar sekolah dan menerima keadaan dirinya seperti seorang remaja normal yang lain.

oku cemerlang3

Sementara itu, ayahnya, Chiang Wai Marn, 51, berkata anak sulungnya itu dikesan menghidap penyakit tersebut sejak kecil, sebelum kehilangan keupayaan bergerak sendiri sejak berumur 9 tahun.

Dia mengakui terkejut dengan keputusan SPM anaknya itu, namun menyedari bahawa kejayaan itu adalah usaha Wai Cheng dan dia hanya menumpang gembira dengan pencapaian tersebut.

“Doktor cakap, dia hanya mampu hidup sampai umur 20 lebih sahaja, penyakit ini tiada ubat tetapi Tuhan sudah bagi macam ini, kita kena terima kenyataan dan jaga dia sampai dia gembira, saya terima dia macam ini.

“Lepas isteri meninggal , saya mengaku bukan senang nak jaga dua orang anak OKU, nasib baik ada SOSCO, barulah saya boleh berhenti kerja dan jaga mereka, saya akan jaga mereka selagi mereka masih ada,” katanya tersenyum kepada Suara Perak.

Wai Marn berkata, anak lelakinya itu sememangnya seorang yang cekal dan dia sendiri melihat perubahan dalam diri anaknya selepas mendapat keputusan tidak memuaskan dalam PT3 dua tahun lepas.

“Dia terus belajar, dari tingkatan empat, dalam sehari dia akan meluangkan selama satu atau dua jam dan rakan-rakannya sentiasa menolong dia di sekolah, tidak pernah mentertawakannya, saya rasa itu juga faktor dia berjaya,” ujarnya.