Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menghantar laporan penuh berhubung isu penutupan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) semalam.

Menurutnya beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan sewajarnya dimaklumkan terlebih dahulu mengenai masalah yang berlaku di LTSAS dipercayai akibat tanah mendap di landasan tersebut.

“Saya pun masih menanti laporan penuh mereka, tak perlulah saya tegur mereka kerana ini berkaitan dengan keselamatan negeri. Kalau berlaku apa-apa patutnya mereka maklumkan pada saya dahulu.

“Lapangan terbang itu adalah sebahagian daripada aspek keselamatan dan saya pun hanya tahu melalui surat khabar sahaja walaupun saya ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan,”tegas Dr. Zambry.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Belia Perak Darul Ridzuan Pada Sabtu.

LTSAS ditutup sementara sejak 6.40 petang Khamis selepas pemeriksaan rutin pihak MAHB mengesyaki terdapat tanah mendap (sinkhole) di atas landasan.

Penutupan itu menyebabkan dua belas penerbangan terpaksa dijadualkan semula.

Dalam pada itu jelas Dr Zambry, kajian terperinci telah pun dilaksanakan beberapa tahun dahulu meliputi aspek keadaan tanah yang ada di kawasan tersebut sewaktu kerja-kerja baikpulih berjalan.

“Saya telah difahamkan sewaktu lapangan terbang ini dibaikpulih, dibesarkan dan dipanjangkan sudah ada kajian terperinci termasuklah suatu ketika dahulu pernah ada laporan berlaku aliran air di bawah landasannya.

“Dan ternyata lapangan terbang itu selamat, saya yakin pemeriksaan teknikal dibuat di kawasan berkenaan semalam. Walaupun jangkaan awal dikatakan LTSAS ditutup selama seminggu namun ianya sudah pun beroperasi sekarang,”katanya.