KAMPAR: Hidupnya mungkin kais pagi makan pagi hasil daripada jualan bahan kitar semula namun kesusahannya itu tidak menghalang Keng Keong menolak godaan duit terpijak berjumlah RM4,000 yang dijumpainya pada petang Selasa.

“Mana tahu dia nak guna duit itu untuk ke hospital…” – merupakan tindak balas nalurinya ketika dia terjumpa beg berisi wang tunai di tepi jalan raya di hadapan SMK Sentosa di Jalan Batu Sinar, dekat Bandar Baru Selatan pada 1.20 petang.

Lelaki berusia 48 tahun itu dalam perjalanan ke stesen minyak menaiki motosikal bersama anak perempuan ketika dia ternampak beg silang berserta beberapa keping duit kertas RM5 di tepi jalan.

Bapa kepada lima anak itu berkata dia berhenti untuk mengutip beg tersebut dan mendapati helain wang tunai yang agak banyak di dalamnya.

“Saya bagi tahu anak perempuan saya dan kami ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar buat laporan polis, serahkan beg mengandungi kad pengenalan, dokumen peribadi, dompet beserta wang tunai itu.

“Saya tak tahu berapa banyak duit dalam beg itu, tetapi saya tak nak sebab ia bukan milik saya. Saya orang susah…saya tahu perasaan orang yang memerlukan duit,” katanya ketika dihubungi pada petang Rabu.

Keng Keong berkata beliau agak terkejut apabila diberitahu jumlah wang di dalam beg tersebut adalah RM4,000 namun sedikit pun beliau tidak menyesal menyerahkannya kepada polis untuk dikembalikan kepada pemiliknya.

“Saya mungkin miskin, keluarga pun makan sederhana tetapi saya tak boleh tamak, saya beritahu anak saya, kita tak boleh ambil hak orang lain.

“Lagi pun saya kena jadi contoh yang baik kepada keluarga saya.. Saya harap pemiliknya tak susah hati,” kata yang menyara keluarga sebagai pengutip bahan kitar semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata pihaknya menerima laporan berkenaan pemulangan semula wang tunai itu sekitar pukul 1.30 petang Selasa.

“Keng Keong berasa amat risau ketika terjumpa beg itu sekitar 1.20 petang dan segera ke balai polis untuk menyerahkan kesemua wang tunai.

“Mujur, kita dapat mengesan semula pemilik beg dan wang tunai itu iaitu seorang guru di Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Tapah dan telah memberitahu beliau untuk datang ke IPD Kampar agar kita boleh memulangkan semula beg itu,”katanya kepada pemberita.

Kong Soon berkata sikap Keng Keong yang amat terpuji dan penuh amanah ini perlu dicontohi semua pihak di Malaysia.

“Walaupun dia bukan orang senang tapi dia tetap berpegang kepada prinsipnya untuk menjadi jujur. Kami bercadang untuk memberikannya Sijil Penghargaan dalam Hari Polis kelak,”ujarnya lagi.