KUALA LUMPUR: ‘Saya okey,’ kata isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang kelihatan sebak sambil menunjukkan isyarat tangan ‘okey’ ketika ditanya Bernama selepas didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Rosmah, 67, yang memakai baju kurung dan berselendang oren sempat mengucapkan terima kasih dan ‘I love you’ serta melambai-lambai tangan ke arah penyokongnya yang hadir sejak awal pagi.

Lebih 30 penyokong yang hadir di Kompleks Mahkamah, di sini bagi memberi sokongan kepada Rosmah.

Suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menemani isterinya keluar daripada mahkamah.

Terdahulu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu oleh dua jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan dua syarat menyerahkan dua pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Rosmah, yang diwakili barisan peguam diketuai Datuk K Kumaraendran membayar ikat jamin RM500,000 hari ini dan bakinya pada atau sebelum 11 Oktober.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dan mahkamah menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes.

Hasil semakan Bernama di kaunter bayaran jamin, dua orang wanita yang dipercayai rakannya membayar jaminan Rosmah sebanyak RM500,000 pada 11 pagi. – BERNAMA