IPOH: “Saya pelik juga kerana pihak Pakatan Harapan (PH) membangkitkan perkara ini (penswastaan pengurusan sampah) kerana perkara ini adalah hasil daripada keputusan yang dibuat kerajaan PH sendiri yang saya sendiri ketuai ketika itu,” kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari yang menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kontrak pengurusan sisa pepejal kepada sebuah syarikat Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.

Katanya, keputusan untuk melantik syarikat pengurusan sampah dan sisa pepejal dari Selangor itu juga diputuskan secara bersama dengan anggota Exco kerajaan negeri di bawah kerajaan PH tahun lalu.

“Keputusan untuk menswastakan pengurusan sampah sisa pepejal ini pada tahun 2019 lagi dan kita semua tahu pada tahun lalu di negeri ini, kerajaan yang mentadbir adalah kerajaan PH.

“Jadi kepada rakan-rakan saya yang bersama-sama membuat keputusan ini… saya harap mereka meneliti semula keputusan yang telah sama-sama kita buat dahulu.

“Sebenarnya hari ini, kerajaan PN meneruskan keputusan yang dibuat PH sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ipoh pada Khamis.

Jelasnya lagi, keputusan untuk memberikan tender itu kepada syarikat di Selangor adalah kerana ia adalah sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut.

“Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah untuk sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang ini untuk bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan negeri iaitu syarikat Maju Perak Perak Berhad.

“Jadi saya kira perkara ini bukan semata-mata kita bagi kepada syarikat luar tetapi syarikat yang kita mempunyai kepentingan sendiri untuk kawal perniagaan itu, kita pastikan melalui kerjasama dengan syarikat Maju Perak Sdn Bhd,” katanya.

Terdahulu, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi mendakwa tindakan dibuat secara “mengejut, tidak telus, dan merugikan rakyat” itu bersifat monopoli dan dibimbangi menyebabkan kenaikan harga atau caj perkhidmatan.

Pada 15 Jun lepas, Majuperak Holdings Berhad (MHB), yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia mengadakan usaha sama dengan syarikat swasta MTR.

Notis itu dikeluarkan setelah MTR memberitahu MHB bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik kedua-dua syarikat tersebut untuk menjalankan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Perak.