KEMAMAN: Tiga beradik yang maut dalam kemalangan selepas menghantar ibu bapa mereka menunaikan umrah selamat disemadikan dalam satu liang lahad di sini, Ahad.

Kedua-dua ibu bapa mereka yang bergegas pulang sempat menatap wajah buat kali terakhir  dan memandikan jenazah sebelum dikebumikan selepas Maghrib di tanah perkuburan Islam Binjai, di sini.

Tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Batu Putih, Kuantan awal pagi tadi ialah Wan Nor Afifah Wan Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Mohd Mahathir, 14 tahun.

Bapa mereka, Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad, 58, bersama  isterinya  Rosnani Ibrahim, 53, dan anak keempatnya Wan Nur Afiqah,17, tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman pada jam 3.45 petang Ahad.

Mereka yang mengetahui berita kemalangan itu ketika sedang bertawaf tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira jam 11 pagi.

“Saya rasa berpuas hati kerana dapat memandikan sendiri jenazah anak-anak saya, walaupun terpaksa pulang dari jauh,” kata beliau.

Dua yang cedera dalam kemalangan itu ialah ibu saudara mereka, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya, Nurul Aliani Zawawi, 25 tahun.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar, Dr Wan Shaari Wan Ismail berkata kerajaan negeri akan membiayai seluruh kos pembiayaan pengurusan jenazah.

Beliau turut mewakili Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bagi menyerahkan sumbangan kepada bapa mangsa.

-Bernama