PETALING JAYA: Lim Kit Siang hari ini memihak kepada langkah kontroversi untuk memperkenalkan tulisan jawi dalam silibus subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah bermula tahun depan dengan berkata, beliau juga mempelajari tulisan itu dan ia tidak menjadikan beliau kurang Cina.

Pengumuman Putrajaya untuk memperkenalkan tulisan itu mengundang bantahan, termasuk dalam kalangan pemimpin DAP, parti yang dipimpin oleh Lim sendiri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau mempelajari tulisan jawi ketika pertama kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1969.

“Perkara itu (penahahan) tidak mengurangkan identiti saya sebagai seorang Cina, malah mungkin telah membantu saya untuk lebih memahami erti menjadi seorang rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Lim dibuat sehari sebelum satu mesyuarat dalam kalangan pemimpin DAP diadakan bagi membincangkan isu itu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 ahli Dewan Undangan Negerinya, menggesa menteri Kabinet yang mewakili parti itu supaya membantah rancangan tersebut.

Lim berkata, mempelajari tulisan jawi tidak mengkhianati bangsa, bahasa dan kebudayaan orang Cina.

Beliau juga berkata, orang ramai tidak harus melihat langkah memperkenalkan tulisan jawi sebagai satu asimilasi budaya kerana ia adalah usaha untuk memperkenalkan warisan dan identiti negara kepada pelajar.

“Saya mengaku sebelum ini saya tidak menyedari kewujudan tulisan jawi pada wang ringgit. Selepas menyedari perkara ini, saya melihat kepada wang rupee India dan menyedari ia bukan saja mempunyai skrip rasmi bahasa Hindi, tetapi juga bahasa daerah seperti Tamil, Telegu, Marathi, Urdu, Malayalam, Gujarati, Bengali, Punjabi dan Kannada.”

Katanya, Malaysia kelihatan terperangkap dalam satu keadaan luar biasa yang menyaksikan semua kumpulan etnik berasa terancam dan setiap komuniti terdorong untuk mempercayai bahawa kebudayaan dan keetnikan masing-masing berhadapan ancaman kepupusan.

Lim berkata, rakyat Malaysia harus membina keyakinan diri “untuk mencapai cita-cita kita semua” serta semangat “Malaysia Boleh” yang baru untuk melawan momokan dan ancaman yang dibuat-buat bagi membolehkan negara maju dalam semua bidang dan mencapai era kegemilangan.

Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, hanya sebilangan kecil pemimpin DAP membantah idea memperkenalkan tulisan jawi di sekolah.