IPOH: “Ucapan pada minit 26:30 saat itu jelas menyebut perkataan p***k dan ditujukan kepada Menteri Besar Perak, malah video ini dipetik dari laman sesawang Nga sendiri.”

Itulah ketegasan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib ketika mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming membuat laporan polis palsu apabila menafikan dia menutur kata-kata kesat dalam klip video viral itu.

Malah, Khusairi menyifatkan tindakan Kor Ming yang mendakwa video itu telah diedit juga dilihat sebagai tidak relevan memandangkan video berdurasi 30 minit itu dengan jelas menunjukkan Pengerusi DAP Perak itu menghamburkan kata-kata kesat tersebut.

“ADUN Kepayang membuat laporan palsu kepada pihak polis pada tarikh 21 November lalu di mana dia mendakwa video itu sudah disunting dan menafikan dia telah mengeluarkan kata-kata kesat dalam ceramahnya di Kampung Simee, 16 November lalu.

“Ucapan itu diambil dari laman sesawang Nga sendiri iaitu Taiping KiniTV dan mungkin pada ketika ini, ia sudah dipadamkan,” ujarnya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Berikutan itu, Khusairi menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan tegas ke atas Kor Ming kerana membuat laporan palsu tersebut.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menyerahkan rakaman penuh klip video tersebut bagi tujuan siasatan lanjut.

“Sebelum ini ada pihak yang bertanya di Facebook Nga termasuk pemimpin parti Pakatan Harapan sendiri , mereka bertanya benar atau tidak ada keluarkan carutan tetapi dia menafikan.

“Dia sebagai ahli politik senior sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukannya menjadikan perkara ini (mencarut) sebagai budaya dalam politik,” katanya.