KUALA KANGSAR – Setelah lama berdiam diri, akhirnya Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tampil menjawab persoalan mengapa beliau tidak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak selepas kekalahan BN PRU14 lalu.

Menurut Zambry, sudah tiba masanya untuknya menyerahkan tampuk pimpinan selepas menjadi pemimpin UMNO di Perak selama dua penggal kepada individu lain yang dirasakan lebih layak.

“Ada macam-macam spekulasi dan saya ingin katakan pemimpin yang baik adalah disebabkan pengikut yang baik dan apabila masa dah sampai… saya sendiri yang minta undur diri.

“Pimpinan Pusat (UMNO) minta saya kekal, tetapi dalam tradisi kepimpinan, kita kena amalkan pemimpin tidak boleh selama-lamanya berada dalam satu jawatan,” katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama penduduk Manong, di Kedai Pau Manong, lewat petang semalam.

Zambry berkata, pelantikan Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak bagi tempoh 2018-2021 menggantikannya adalah langkah tepat.

“Kita semua tahu Datuk Saarani merupakan timbalan saya sebelum ini dan beliau menjadi timbalan yang cukup baik maka letakkan beliau kerana saya ada tanggungjawab dengan UMNO Malaysia.

“Biar saya di belakang beliau bersama kawan-kawan lain menjaga dan melaksanakan tugas serta peranan untuk kami UMNO Perak membuat yang terbaik di negeri ini seperti sebelum ini,” katanya.

Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata dia perlu menunjukkan contoh yang baik dengan memberi memberi laluan kepada individu lain yang layak untuk memimpin dalam membawa perubahan di Perak.

“Kalau dulu saya menjadi ketua saya mempunyai pengikut yang baik, hari ini kita perlu angkat seorang di hadapan menjadi ketua dan saya pula menjadi pengikut yang baik.

“Kita kena berganjak inilah prinsip dalam kepimpinan, Islam ajar kita bagaimana bila sampai masa kita beri pada orang lain kita beri,” katanya.

Sebelum ini pelbagai desas-desus dikeluarkan netizen selepas Zambry tidak dilantik memimpin UMNO Perak, namun Adun Pangkor berkenaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sejak setahun lalu.

-SinarHarian